Thursday, September 17, 2009

Jom Sambut 'Eidul Fitri di Kelantan




Balik dulu!! Anda dijemput bertandang ke rumah saya hari raya nanti :)
Ditunggu ye...




Wednesday, September 16, 2009

Salam 'Eidul Fitri, Salam Keinsafan

Ramadhan, satu perjuangan. Ramai yang memandangnya dari sudut fizikal sahaja, Ramadhan sememangnya satu tuntutan yang memerlukan semangat juang untuk melaksanakannya. Apatah lagi jika dipandang juga dari sudut batin – bahawa Ramadhan bukan hanya tuntutan menahan lapar dan dahaga dari fajar hingga senja tetapi juga menahan nafsu-nafsu yang bersifat batin dari larangan Allah Ta’ala.

Lemahnya hamba ini sehinggakan kerana beratnya tuntutan Ramadhan itu ke atas kita, Allah menghadiahkan ‘Eidul Fitri, hari yang disunatkan untuk melahirkan kegembiraan dan meraikan kejayaan perjuangan, bagi mereka yang berjaya menunaikan tuntutan Ramadhan.

Namun, Ramadhan bukanlah satu-satu tuntutan perjuangan dalam Islam. Ia bukan pula satu kewajipan yang terunggul sehingga kejayaan melakukannya dianggap sebagai puncak segala kejayaan dan kita pun meraikannya seseronok hati kita hingga terlalai.

Hakikatnya perjuangan di bulan Ramadhan hanyalah satu perjuangan kecil dari tuntutan perjuangan yang lebih besar.

Apakah pula tuntutan perjuangan yang lebih besar yang perlu dipikul?

Perjuangan yang lebih besar yang dituntut ke atas kita ialah untuk merealisasikan tujuan penciptaan perutusan Rasulullah s.a.w ke muka bumi ini. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam” (Al-Anbiya’ : 107)

Sebagai manifestasi bagi kedudukan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Dan apabila Tuhanmu berkata ‘Sesungguhnya aku ingin menjadikan di muka bumi seorang khalifah” (Al-Baqarah : 30)

Antara manifestasi dari perjuangan yang besar ini juga ialah tertegaknya satu zaman contoh yang baik di alam jagat. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Negara yang baik dan Tuhan yang pengampun” (Saba’ : 15)

Walaupun realiti kita mungkin jauh dari hakikat yang hendak dicapai, idealisme ini perlu sentiasa kekal dalam minda kita agar ia dapat diwariskan pula kepada generasi seterusnya.

Cubalah kita renung sejenak dan melihat sekeliling kita. Sejauh manakah matlamat perjuangan yang besar ini telah dapat dicapai? Apa yang sudah kita buat? Apa yang telah kita sumbangkan?

Nyata sekali kita masih jauh darinya. Maka, apakah erti perayaan bagi perjuangan kecil sedangkan perjuangan besar masih jauh dari sasaran? Apakah seronok berhari raya pada ketika tanggungjawab yang lebih besar masih terabai? Tidakkah terlalu awal untuk kita ‘celebrate’ kerana berjaya dalam ‘perjuangan’?

Pada ketika Allah mensyariatkan ‘Eidul Fitri, umat Islam ketika itu telah berada di Madinah. Walaupun Islam pada ketika itu belum menjadi satu orde dunia tetapi ia telah tertegak sebagai satu cara hidup dalam lingkungan masyarakat Madinah. Perjuangan yang dimulakan oleh Rasulullah s.a.w telah diwarisi oleh generasi seterusnya sehingga wujudlah satu kuasa yang daerahnya melebar di Asia dari Moroco hingga ke negeri China dan sebahagian yang tidak kecil dari Eropah.

Maka, layaklah mereka untuk bergembira. Layaklah mereka untuk berhari raya. Layaklah pula mereka meraikan kejayaan demi satu ‘perjuangan’.

Sekarang cuba lihat sekeliling kita. Apa kita sudah berpuas hati dengan keislaman yang tertegak di sekeliling kita? Usah menjangkau jauh, lihat sahaja bumi UKM? Bagaimana? Syumulkah Islam nya di sini? Hanya keimanan sahaja yang bisa menjawabnya. Bagaimana seorang muslim seperti kita dapat bergembira dan berhari raya?

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia suka untuk saudaranya apa yang ia suka untuk dirinya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Bagi kita, ‘Eidul Fitri adalah hari keinsafan. Hari untuk kita merenung akan erti perjuangan yang sebenar dan sumbangan kita kepadanya.

Ayuh kita bina dari keinsafan ini satu tekad yang lebih kukuh dan janji bahawa daya juang sepanjang Ramadhan ini akan diteruskan bagi satu perjuangan yang lebih besar.

Sehingga Allah mentakdirkan kita bertemu dengan ‘perayaan’ yang lebih bererti dari ‘Eidil Fitri.

Pulanglah untuk menyambut hari keinsafan. Pulanglah! Tiada siapa yang melarang atau menghalang.

Ayuh mantapkan stamina jasad dan rohani agar lebih gagah untuk beraksi di medan pertempuran sekembalinya kalian di bumi yang diamanahkan untuk kita ini.

BANGKIT! BANGKIT! MAHASISWA!

BERTAHANLAH!!!

(Dedicated for you. This nicely design card was created by Khairul Anwar. Thanks anwar for being a very good student of mine. Kalah kad raya kakna ni nuar!)

Sunday, September 13, 2009

::RAMADHAN DI KELANTAN:: Membina Generasi al-Qur'an

P1000658

"Ramadhan juga adalah bulan al-Quran, kerana al-Quran mula diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dalam bulan Ramadhan. Mengambil sempena itu Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Nik Aziz mengeluarkan kain-kain banner yang menunjukkan orang membaca Quran, dan memasangnya di merata-rata tempat yang strategik. Tujuannya sebagai kempen supaya orang membaca Quran dengan lebih rajin di bulan Ramadhan. Alhamdulillah, kata Tok Guru, “kita tengok pun senang rasa hati.”

Tetapi hatinya yang senang itu pula mengusik mindanya menjadi kritis dan kreatif. Maka dilihatnya dalam imaginasinya ada gambaran lain yang lebih wajar, bagi menampilkan mesejnya. “Tolong buat banner lain,” kata Tok Guru yang kreatif ini, “orang baca Quran itu, kalau boleh, ada anak atas ribanya. Menandakan kita di Kelantan mendidik generasi Quran. Aku baca Quran, anak aku dengar. Walaupun anak baru berumur sebulan atau setahun, tapi Islam menetapkan apabila anak dilahirkan, kita diminta azan di telinganya, biar nama Allah dan Nabi Muhammad dalam azan itu masuk ke dalam telinga anak kita. Dia fahamkah tak fahamkah, tak mengapa, kita hanya turut Nabi Muhammad saw.”

Sangat menarik! Rupa-rupanya sampai kepada rekabentuk banner pun turut difikirkan oleh pemimpin ini. Lihatlah gambaran terperinci yang diberikannya: “Waktu dia baca Quran dan anak di atas riba itu, isterinya juga ada dalam gambar, membawa anak-anak pergi ke masjid. Dan anak-anak itu, waktu pergi ke masjid, dipimpin oleh emaknya, dia melompat dan menjerit suka tengok orang ramai di masjid, dan di masjid pula nampak ramai orang sedang mengambil wudhuk dan sebagainya.”

Saranan dan hasrat tok guru itu telah diterjemahkan oleh PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) melalui billboard dan banner yang telah dipasang dijalan-jalan utama di seluruh Kelantan…

Semoga hasrat murni yang telah diterjemahkan ini diguna pakai dan diambil sebagai contoh untuk diterjemahkan di negeri-negeri lain pula. Siapa yang perlu memainkan peranan untuk merealisasikan hasrat ini, itu boleh kita jawab sendiri. Malulah kiranya iklan di billboard lebih hebat mempromosikan Kamdar berbanding Lailatul Qadar.

Sememangnya saya sebagai anak jati Kelantan, dapat merasakan keterbezaan yang sangat ketara, Ramadhan disambut di Kelantan berbanding di luar Kelantan. Kenikmatannya mudah terasai dan sangat terhayati. Tak percaya? Cuba la sendiri.. :-)

Billboard yang dipasang  oleh PMBK hasil daripada idea dan saranan TGNA

Billboard yang dipasang oleh PMBK hasil daripada idea dan saranan TGNA

P1000664

PKINK juga turut sama menjayakan hasrat murni ini..

PKINK juga turut sama menjayakan hasrat murni ini..

Sumber : http://pinkturtle2.wordpress.com

Saturday, September 12, 2009

Betul ke Sabar ada batasnya?

Suatu ketika, saya terdengar sahabat saya mengeluh kerana terlalu banyak masalah dan beban hidup terasa semakin berat, sementara personal ekonomi juga sudah agak kritikal. Saya katakan padanya bahawa kita harus bersabar menghadapinya kerana semua itu adalah ujian. “Saya dah sabar kak, tapi sampai bila? Sabar itu kan ada batasnya?”, sanggahnya. Terdiam saya mendengarnya, hati saya pun penuh tanda tanya, benarkah sabar itu ada batasnya? Kadang-kadang saya sendiri juga tidak terkecuali seringkali bergelut dengan ujian mempertahankan kesabaran. Pening dibuatnya.

Masalah peribadi, dakwah, pengajian, pekerjaan, pertelingkahan, semua itu adalah ujian. Ujian memang selalu datang dalam kehidupan kita. Kita sememangnya tidak akan pernah sunyi dengan ujian sekiranya kita antara golongan yang dambakan syurga. Salah satu benteng untuk menghadapi ujian adalah sabar. Tetapi untuk bersabar, bukanlah satu perkara yang mudah. Sangat-sangat memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menahan rasa sakit, sedih, kecewa, marah dan menderita. Sehingga orang yang tidak tahan menghadapinya, dia akan kehilangan kesabarannya.

Untuk bersabar dalam menghadapi ujian, ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan. Pertama, kita harus ingat bahawa kita memiliki kemampuan lebih kuat dibandingkan ujian itu sendiri. Cuba kita semak Al-Qur’an, Surat Al-Baqarah, ayat 286, dimana Allah berfirman :

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”.

Ini yang sering kita terlepas pandang. Kita selalu merasa lemah jika melihat beratnya ujian yang harus kita hadapi. Kita lupa atau tidak tahu bahawa ujian yang diberikan Tuhan kepada kita, tidak lebih besar dari kemampuan yang kita miliki untuk mengatasinya.

Kedua, mensyukuri apa sahaja yang telah kita miliki dan alami ketika ini. Ramai orang hanya mampu melihat apa yang dimiliki oleh orang lain, tetapi tidak menyedari apa yang telah dimilikinya sendiri. Bagi saya sabar itu bukan lagi sifat, melainkan ia adalah akibat. Syukur adalah salah satu sebab yang boleh mengakibatkan timbulnya rasa kesabaran. Oleh itu, bersyukurlah sentiasa, maka kita akan menjadi orang yang sabar, insyaAllah.

Ketiga, kita perlu ingat dan yakin bahawa Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang. Kerana kasih dan sayang-Nya, maka setiap apa yang menimpa kita, sentiasa ada maksud baik dari-Nya yang ingin disampaikan-Nya. Hanya kerana kelemahan dan keterbatasan kita sebagai manusia, menyebabkan kita tidak mampu melihat dan menyedari maksud baik Tuhan itu. Maksud baik Tuhan disebalik setiap ujian itulah yang sering disebut dengan ‘hikmah’.

Jadi, selama kita masih menghuni dunia ini, kesabaran harus tetap kita pertahankan dan pelihara. Jika sabar itu memang ada batasnya, mungkin batasnya adalah ketika nyawa kita terpisah dari jasad. Pertanyaannya sekarang adalah, relakah kita membataskan kesabaran dengan menyia-nyiakan hidup yang hanya sekali ini? Untuk menjawab pertanyaan ini, Tuhan telah memberikan modal yang cukup untuk kita, iaitu ‘akal’.

Barangkali, kesabaran itu seperti pohon betik, dimana akar, pohon dan daunnya memang pahit, tetapi buahnya jika sudah cukup masak atau matang manis rasanya. Maka, bersabarlah untuk menunggu buahnya matang. Bersabarlah dalam menghadapi setiap ujian kehidupan.

Saya tiba-tiba teringat dengan satu iklan yang berkait dengan sifat sabar. Iklan hari raya, bagaimana sabarnya seorang bapa melayani kerenah anaknya. Anda ingat tak iklan ‘burung murai’ tu? Saya terfikir, jika saya di tempat ‘ayah’ itu... Ya Allah berikan aku kesabaran yang sesuai dengan kehendak-Mu. Hmm..saya juga terfikir, sabar anak-anak kecil pula bagaimana ye? Kenapa mesti ‘anak kecil’ dan ‘burung murai’? Hehe, sebab saya nak tunjuk video ni, kebetulan ada lagi dalam simpanan saya. 3,2,1 action adik.. ok just testing your power of patient dik:

Thursday, September 3, 2009

Maafkan aku yang tidak sempurna

Bismillahirrohmanirrohiiim...

Hidup di dunia ini cuma tinggal sebentar sahaja lagi... dan mungkin besok tak mungkin ada kesempatan untukku kecap lagi. Bila duka, bila senang, aku mohon dengan sangat padaMu agar hati kembali kepada pemiliknya.

Waktu yang berlari, tidak akan pernah kembali kepadaku lagi. Bila perit, bila sedih, airmata ini bukanlah segalanya.

Hanya padaMu Ya Allah aku selalu berserah. Hanya padaMu Ya Allah aku selalu berpasrah. Kerana kutahu segalanya bergantung padaMu Ya Ilahi, Dan ku tahu juga, hanya PadaMu semua akan bermuara.

Ya Allah, Tuhan yang menguasai hati. Aku telah lupa sentiasa bersalah. Hanya padaMu hatiku ini ingin kembali. Jangan biarkan aku sesat dan teraniaya kerana perbuatanku sendiri. Jika tanpa ampunanMu, jika tanpa rahmat dan cintaMu, sesungguhnya akulah insan paling rugi di dunia dan akhirat. Ya Tuhanku yang Maha Mengampuni, tiadalah tempat untuk aku kembali dan rujuki selainMu Ya Robbi.. aku yang lemah dan tiada daya upaya, hanya padaMu aku benar-benar berharap. Bantulah aku pelihara diriku Ya Robbi, bantulah aku menjaga perbuatan, perkataan, pendengaran, dan penglihatan wahai Tuhan yang Maha Memelihara. Peringatilah aku saat aku tersalah dengan teguran belas kasihanMu Ya Rahiim.

Ampuni aku Ya Allahku, aku ini hambaMu yang bodoh lagi tidak sempurna... Maafkan aku sahabat-sahabatku dunia dan akhirat kerana ketidaksempurnaanku ini.

~Hamba menagih ampunan~
(Ummu Muslim)

Wednesday, September 2, 2009

Photoshop and Blog Workshop

JOM TIMBA ILMU UNTUK TEBAR SAYAP DAKWAH!!!
Blog Widget by LinkWithin