Friday, August 7, 2009

Ahlan Ya Ramadhan...

“Assalamualaikum w.b.t…Saya penyimpan mohor besar raja-raja, setelah diperkenankan oleh Duli-duli yang maha mulia…....”

Alhamdulillah, dah hampir setahun hijiriyyah kita melalui kehidupan selepas melalui bulan Ramadhan yang lepas, kini Ramadhan bakal tiba lagi. Kami bermohon kehadratMu Ya Allah, dengan rahmat-Mu pertemukanlah kami dan berikanlah kesempatan kepada kami untuk bersua dengan Ramadhan yang penuh dengan barakahMu.

Tiada bulan yang lebih membahagiakan selain bulan Ramadhan. Kesyahduannya begitu meresapi jiwa ketika melalui hari-hari di dalamnya.


Kefarduan Puasa Bukan Suatu Deraan!

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa."

Berdasarkan ayat di atas, tak ada hukum lain dalam amalan berpuasa pada bulan Ramadhan melainkan wajib. Marilah kita sama-sama pahatkan dalam hati bahawa kefarduan ini bukanlah suatu deraan. Tapi ia merupakan suatu tarbiyyah oleh Allah terhadap jiwa dan nafsu.

Kenapa mesti pening kepala bila tiba bulan Ramadhan? Puasa pun belum, dah pening-pening pasal baju raya, duit raya, kuih raya dan sebagainya. Seolah-olah Ramadhan yang datang itu membawa satu beban yang terpaksa ditanggung.

Letakkanlah rasa 'pening' itu ke tepi dahulu. Cubalah kita bayangkan Ramadhan ini adalah yang terakhir. Apakah kita tidak merasakan suatu kerugian kerana kegagalan merebut peluang ’bulan jualan mega’ ini berlalu begitu sahaja?

Sabda junjungan besar kita:

"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan yang penuh barakah. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelengu segala syaitan."

Dengan suasana masyarakat kita yang telah menjadikan budaya puasa di bulan Ramadhan, sepatutnya kita tiada masalah untuk berpuasa penuh tanpa cacat. Melainkan mereka yang dikecualikan atas sebab tertentu. InsyaAllah..

Wallahu'alam...

No comments:

Blog Widget by LinkWithin