Saturday, September 12, 2009

Betul ke Sabar ada batasnya?

Suatu ketika, saya terdengar sahabat saya mengeluh kerana terlalu banyak masalah dan beban hidup terasa semakin berat, sementara personal ekonomi juga sudah agak kritikal. Saya katakan padanya bahawa kita harus bersabar menghadapinya kerana semua itu adalah ujian. “Saya dah sabar kak, tapi sampai bila? Sabar itu kan ada batasnya?”, sanggahnya. Terdiam saya mendengarnya, hati saya pun penuh tanda tanya, benarkah sabar itu ada batasnya? Kadang-kadang saya sendiri juga tidak terkecuali seringkali bergelut dengan ujian mempertahankan kesabaran. Pening dibuatnya.

Masalah peribadi, dakwah, pengajian, pekerjaan, pertelingkahan, semua itu adalah ujian. Ujian memang selalu datang dalam kehidupan kita. Kita sememangnya tidak akan pernah sunyi dengan ujian sekiranya kita antara golongan yang dambakan syurga. Salah satu benteng untuk menghadapi ujian adalah sabar. Tetapi untuk bersabar, bukanlah satu perkara yang mudah. Sangat-sangat memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menahan rasa sakit, sedih, kecewa, marah dan menderita. Sehingga orang yang tidak tahan menghadapinya, dia akan kehilangan kesabarannya.

Untuk bersabar dalam menghadapi ujian, ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan. Pertama, kita harus ingat bahawa kita memiliki kemampuan lebih kuat dibandingkan ujian itu sendiri. Cuba kita semak Al-Qur’an, Surat Al-Baqarah, ayat 286, dimana Allah berfirman :

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”.

Ini yang sering kita terlepas pandang. Kita selalu merasa lemah jika melihat beratnya ujian yang harus kita hadapi. Kita lupa atau tidak tahu bahawa ujian yang diberikan Tuhan kepada kita, tidak lebih besar dari kemampuan yang kita miliki untuk mengatasinya.

Kedua, mensyukuri apa sahaja yang telah kita miliki dan alami ketika ini. Ramai orang hanya mampu melihat apa yang dimiliki oleh orang lain, tetapi tidak menyedari apa yang telah dimilikinya sendiri. Bagi saya sabar itu bukan lagi sifat, melainkan ia adalah akibat. Syukur adalah salah satu sebab yang boleh mengakibatkan timbulnya rasa kesabaran. Oleh itu, bersyukurlah sentiasa, maka kita akan menjadi orang yang sabar, insyaAllah.

Ketiga, kita perlu ingat dan yakin bahawa Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang. Kerana kasih dan sayang-Nya, maka setiap apa yang menimpa kita, sentiasa ada maksud baik dari-Nya yang ingin disampaikan-Nya. Hanya kerana kelemahan dan keterbatasan kita sebagai manusia, menyebabkan kita tidak mampu melihat dan menyedari maksud baik Tuhan itu. Maksud baik Tuhan disebalik setiap ujian itulah yang sering disebut dengan ‘hikmah’.

Jadi, selama kita masih menghuni dunia ini, kesabaran harus tetap kita pertahankan dan pelihara. Jika sabar itu memang ada batasnya, mungkin batasnya adalah ketika nyawa kita terpisah dari jasad. Pertanyaannya sekarang adalah, relakah kita membataskan kesabaran dengan menyia-nyiakan hidup yang hanya sekali ini? Untuk menjawab pertanyaan ini, Tuhan telah memberikan modal yang cukup untuk kita, iaitu ‘akal’.

Barangkali, kesabaran itu seperti pohon betik, dimana akar, pohon dan daunnya memang pahit, tetapi buahnya jika sudah cukup masak atau matang manis rasanya. Maka, bersabarlah untuk menunggu buahnya matang. Bersabarlah dalam menghadapi setiap ujian kehidupan.

Saya tiba-tiba teringat dengan satu iklan yang berkait dengan sifat sabar. Iklan hari raya, bagaimana sabarnya seorang bapa melayani kerenah anaknya. Anda ingat tak iklan ‘burung murai’ tu? Saya terfikir, jika saya di tempat ‘ayah’ itu... Ya Allah berikan aku kesabaran yang sesuai dengan kehendak-Mu. Hmm..saya juga terfikir, sabar anak-anak kecil pula bagaimana ye? Kenapa mesti ‘anak kecil’ dan ‘burung murai’? Hehe, sebab saya nak tunjuk video ni, kebetulan ada lagi dalam simpanan saya. 3,2,1 action adik.. ok just testing your power of patient dik:

No comments:

Blog Widget by LinkWithin