Wednesday, September 16, 2009

Salam 'Eidul Fitri, Salam Keinsafan

Ramadhan, satu perjuangan. Ramai yang memandangnya dari sudut fizikal sahaja, Ramadhan sememangnya satu tuntutan yang memerlukan semangat juang untuk melaksanakannya. Apatah lagi jika dipandang juga dari sudut batin – bahawa Ramadhan bukan hanya tuntutan menahan lapar dan dahaga dari fajar hingga senja tetapi juga menahan nafsu-nafsu yang bersifat batin dari larangan Allah Ta’ala.

Lemahnya hamba ini sehinggakan kerana beratnya tuntutan Ramadhan itu ke atas kita, Allah menghadiahkan ‘Eidul Fitri, hari yang disunatkan untuk melahirkan kegembiraan dan meraikan kejayaan perjuangan, bagi mereka yang berjaya menunaikan tuntutan Ramadhan.

Namun, Ramadhan bukanlah satu-satu tuntutan perjuangan dalam Islam. Ia bukan pula satu kewajipan yang terunggul sehingga kejayaan melakukannya dianggap sebagai puncak segala kejayaan dan kita pun meraikannya seseronok hati kita hingga terlalai.

Hakikatnya perjuangan di bulan Ramadhan hanyalah satu perjuangan kecil dari tuntutan perjuangan yang lebih besar.

Apakah pula tuntutan perjuangan yang lebih besar yang perlu dipikul?

Perjuangan yang lebih besar yang dituntut ke atas kita ialah untuk merealisasikan tujuan penciptaan perutusan Rasulullah s.a.w ke muka bumi ini. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam” (Al-Anbiya’ : 107)

Sebagai manifestasi bagi kedudukan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Dan apabila Tuhanmu berkata ‘Sesungguhnya aku ingin menjadikan di muka bumi seorang khalifah” (Al-Baqarah : 30)

Antara manifestasi dari perjuangan yang besar ini juga ialah tertegaknya satu zaman contoh yang baik di alam jagat. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Negara yang baik dan Tuhan yang pengampun” (Saba’ : 15)

Walaupun realiti kita mungkin jauh dari hakikat yang hendak dicapai, idealisme ini perlu sentiasa kekal dalam minda kita agar ia dapat diwariskan pula kepada generasi seterusnya.

Cubalah kita renung sejenak dan melihat sekeliling kita. Sejauh manakah matlamat perjuangan yang besar ini telah dapat dicapai? Apa yang sudah kita buat? Apa yang telah kita sumbangkan?

Nyata sekali kita masih jauh darinya. Maka, apakah erti perayaan bagi perjuangan kecil sedangkan perjuangan besar masih jauh dari sasaran? Apakah seronok berhari raya pada ketika tanggungjawab yang lebih besar masih terabai? Tidakkah terlalu awal untuk kita ‘celebrate’ kerana berjaya dalam ‘perjuangan’?

Pada ketika Allah mensyariatkan ‘Eidul Fitri, umat Islam ketika itu telah berada di Madinah. Walaupun Islam pada ketika itu belum menjadi satu orde dunia tetapi ia telah tertegak sebagai satu cara hidup dalam lingkungan masyarakat Madinah. Perjuangan yang dimulakan oleh Rasulullah s.a.w telah diwarisi oleh generasi seterusnya sehingga wujudlah satu kuasa yang daerahnya melebar di Asia dari Moroco hingga ke negeri China dan sebahagian yang tidak kecil dari Eropah.

Maka, layaklah mereka untuk bergembira. Layaklah mereka untuk berhari raya. Layaklah pula mereka meraikan kejayaan demi satu ‘perjuangan’.

Sekarang cuba lihat sekeliling kita. Apa kita sudah berpuas hati dengan keislaman yang tertegak di sekeliling kita? Usah menjangkau jauh, lihat sahaja bumi UKM? Bagaimana? Syumulkah Islam nya di sini? Hanya keimanan sahaja yang bisa menjawabnya. Bagaimana seorang muslim seperti kita dapat bergembira dan berhari raya?

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia suka untuk saudaranya apa yang ia suka untuk dirinya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Bagi kita, ‘Eidul Fitri adalah hari keinsafan. Hari untuk kita merenung akan erti perjuangan yang sebenar dan sumbangan kita kepadanya.

Ayuh kita bina dari keinsafan ini satu tekad yang lebih kukuh dan janji bahawa daya juang sepanjang Ramadhan ini akan diteruskan bagi satu perjuangan yang lebih besar.

Sehingga Allah mentakdirkan kita bertemu dengan ‘perayaan’ yang lebih bererti dari ‘Eidil Fitri.

Pulanglah untuk menyambut hari keinsafan. Pulanglah! Tiada siapa yang melarang atau menghalang.

Ayuh mantapkan stamina jasad dan rohani agar lebih gagah untuk beraksi di medan pertempuran sekembalinya kalian di bumi yang diamanahkan untuk kita ini.

BANGKIT! BANGKIT! MAHASISWA!

BERTAHANLAH!!!

(Dedicated for you. This nicely design card was created by Khairul Anwar. Thanks anwar for being a very good student of mine. Kalah kad raya kakna ni nuar!)

No comments:

Blog Widget by LinkWithin