Saturday, October 3, 2009

‘ONLINE’LAH SAMPAI BILA-BILA

Akhir Ramadhan sebelum pulang ke kampung, saya sempat memborong lagi beberapa buku. Entahlah sejak akhir-akhir ini gila membeli buku, bacanya sahaja yang tidak habis. Bertimbun buku di bilik mungkin sedang menangis barangkali kerana tidak habis dibaca tuannya. Astaghfirullah, maafkan saya buku, saya janji akan habiskan membaca kalian semua. Moga apa yang dibaca akan mudah melekat dijiwa untuk dibawa sebagai amalan.

Semalam baru sahaja habis membaca buku ‘Online dengan Tuhan’. Pertama kali melihat tajuk buku ini sewaktu di gerai buku membuatkan saya cukup menjadi malu, dan semacam ada yang memperli saya. Apa tidaknya, saya ni selalu meng’online’kan diri di ‘ym’. Tetapi, online itu bukan maksudnya chatting, sekadar biarkan ia terus ‘on’, kerana sudah di’set’kan ‘sign in’ bila laptop di ‘on’kan. Apalagi, kerja saya sememangnya hampir 90% melibatkan laptop. Mata berpinar dan sendi otak tergeliat yang membuatkan ‘migrain’ sentiasa menyengat itu harus saya biasakan. Jangan cakap saya hantu chatting sudah. Online, online, online, ya...online itu semestinya 24 jam sehari, tanpa henti... WAJIB DAN BUKAN HARUS! Tetapi....

ONLINE YANG BENAR-BENAR WIRELESS

Buku ‘Online dengan Tuhan’ karya Zulkifli Khair sebenarnya membicarakan tentang hubungan makhluk dengan al-Kholik yang semestinya lebih hebat dan melampaui hubungan secara teknologi online yang wujud pada masa kini.

Penulis menggarap tajuk dan isi dalam buku ini menggunakan analogi-analogi peralatan perhubungan zaman moden seperti internet, komputer, laptop, telefon bimbit dan seumpamanya padahal secara ironinya juga peralatan ini adalah makhluk dan hubungan secara wayarles dengan Pencipta sebenarnya sudah wujud, lebih awal semenjak zaman Nabi Adam a.s lagi.

Justeru, pada saya tidak perlulah manusia terpegun dan seterusnya terlalai dengan kecanggihan peralatan moden yang sifatnya tidak lebih dari hanya menjadi kemudahan untuk membantu manusia mendekatkan hubungannya dengan Pencipta.

Teknologi digunakan untuk kebaikan serta meningkatkan iman bukan untuk meruntuhkan iman apatah lagi digunakan untuk menambah maksiat. Sekali jari terlajak, tergigit jari sendiri dan lebih parah lagi tergigit iman, na’uzubillah.

Dalam tajuk ”Wahyu Tanpa Wayar” misalnya, penulis mengandaikan manusia pasti merasa takjub pada kuasa internet tanpa wayar yang dapat berkata-kata sesama manusia yang jauhnya beribu-ribu batu, padahal kata-kata Allah tanpa wayar jika manusia mahu mendapatkannya, dapatkan sahaja naskhah al-Quran. Kata-kata Allah tanpa wayar sudah termaktub lama dalam kehidupan manusia.

Tajuk ”Sekiranya Tuhan Keluarkan Bil” dari buku ini amat menginsafkan saya, kerana saya teringat saat membayar yuran, bil-bil yang biasa pun kita sudah banyak mengeluh kerana kurang kemampuan apatah lagi sekiranya Allah sendiri yang keluarkan bil untuk menuntut bayaran bagi harga dan kos kehidupan seperti oksigen, mata, telinga, mulut, paru-paru dan sebagainya. Bankrap tahap negatif infiniti la jawabnya manusia. Renunglah, betapa pemurahnya Allah kerana terlalu banyak perkara yang Tuhan berikan secara percuma kepada hamba-hambaNya. Cuma, hamba-hambaNya sahaja yang memang tidak tahu bersyukur, BODOH! SOMBONG!

MEDIA DAJAL = ZIONIS

Antara peringatan penting yang turut dimuatkan dalam buku ini adalah di bawah tajuk ”Zionis dan Perang Siber”. Ia mengingatkan bahawa Zionis sangat komited dalam peperangan siber di samping peperangan militari. Pastikah kita akan terselamat daripada ‘peluru sesat’ dalam peperangan ini? Atau adakah kita hanya mahu menjadi penonton kepada sebilangan ummat yang sudah ‘cedera parah’ dalam peperangan ini? Kita juga sedia maklum bahawa mereka sedang bertungkus lumus memisahkan kaum Muslim daripada al-Qur’an;

"Selama al-Qur’an ini berada di tangan kaum Muslim, selama itu Eropah tidak mungkin menguasai Timur, selama itu juga Eropah tidak akan aman.” –Gladstone, Perdana Menteri Britain-

Tajuk lain yang menarik dibaca ialah ”Hantu Internet vs Hantu Perempuan”, ”Internet Sebagai Media Dajal”, ”Anut Islam Selepas Chatting”, ”Berjalanlah Menuju Tuhan, Tuhan Datang dengan Berlari”, ”Klik Connect untuk Cinta”, ”Ayahku Penjenayah, Bagaimana Diriku?”, ”Apabila Rasa Susah, Ramai yang Lebih Susah”, “Klik Makruf, Delete Mungkar”, dan sebagainya.

Setiap satu tajuk, penulisannya ringkas dan bersahaja tetapi serius untuk difikirkan dan direnung secara mendalam. Dan apa yang paling penting daripada isi buku ini ialah bagaimana penulis dapat mencetuskan rasa berfikir di kalangan pembaca agar menginsafi kewujudan Tuhan di sisinya, disaat susah mahupun senang. Sebelum dan selepas hidupnya. Ketika zaman yang dianggap moden mahupun jahiliah.

Online lah terus menerus, jangan sampai terputus taliannya!

Wallahua’lam.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin